Sabtu, 30 Ogos 2014

lawatan penuh makna

Tajuk : lawatan sambil belajar
Tarikh : 26 Ogos 2014
Tempat : Muzium Negara
Disediakan oleh : Raja Nurul Shahira Binti Raja Arif
No pendaftaran : 17DHK14F1085

          Pada 26 Ogos 2014 yang lalu, kelas DHK1C dari Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) telah mengadakan satu lawatan ke Muzium Negara bertujuan untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat di sana memandangkan kami sekelas telah mengambil kursus Pengajian Malaysia untuk semester 1 di politeknik.

          Pelajar yang terlibat ialah seramai 37 orang. Lawatan kami juga telah diiringi oleh pensyarah kursus Pengajian Malaysia iaitu En. Kazar bin Razali. Kami telah bertolak dari politeknik seawal jam 7 pagi. Sebelum bertolak, kami telah diberikan taklimat ringkas dari En. Kazar dan diteruskan bacaan doa. Kami tiba di muzium pada pukul 10 pagi. Kedatangan kami telah disambut oleh seorang lelaki yang berumur tetapi masih tetap gagah dan bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab beliau. Seumur saya 18 tahun, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Muzium Negara. Pandangan pertama saya sewaktu kami sampai di Muzium Negara ialah saya rasa sangat bangga dan bertuah.

          Setelah masuk, kami beratur untuk mendapatkan tiket. Harga tiket masuk hanyalah RM 2. Jadi saya fikir semua orang mampu ke sana. Hal ini kerana, hanya dengan RM 2, kita dapat mengetahui tentang sejarah negara kita. Setelah masuk, kami diperkenalkan kepada seseorang yang akan menjadi ‘tourist guide’ kami iaitu En. Hisyam. Pandangan pertama saya terhadap beliau ialah bangga dan hormat. Walaupun beliau agak berumur, tetapi beliau masih mengingati setiap sejarah di negara kita dan dapat menyampaikan maklumat kepada kami dengan lebih terperinci. Tambahan pula, beliau sudah lama berkhidmat di sana.

          Muzium Negara mempunyai 4 galeri utama. Galeri A dan B terletak di tingkat bawah. Manakala Galeri C dan D terletak di tingkat atas. Pertama, En. Hisyam telah membawa kami ke galeri A. Menurut En. Hisyam, Galeri A ini berkaitan dengan ‘Sejarah Awal Malaysia, Zaman Batu dan Pra-sejarah’. Di sini kami dapat melihat bagaimana kehidupan manusia yang dahulu. Terdapat 4 zaman awal iaitu Paleolitik ( zaman batu awal), Maseolitik (epi-paleolitik ), Neolitik dan Zaman Logam. Banyak pengetahuan yang kami dapat di sini. Contohnya, tentang kehidupan mereka, tempat perlindungan mereka, peralatan yang digunakan dan macam-macam lagi.

          Seterusnya kami ke Galeri B yang dikenali sebagai ‘Kerajaan Awal Melayu’. Antara kerajaan awal melayu ialah Melaka, Kedah Tua dan lain-lain. Tapi di sini lebih banyak menceritakan tentang kerajaan Melaka. Melaka sangat terkenal dengan laluan strategiknya, perdaganganya dan sebagainya. Pedagang dari India, Cina,  Arab dan lain-lain selalu datang berdagang di Melaka.

          Lawatan kami diteruskan ke Galeri C iaitu ‘Penjajahan Koloneal Era Barat Dan Timur’. Di galeri ini menceitakan tentang bagaimana Tanah Melayu dijajah oleh kuasa barat dan timur. Bermula pada tahun 1511 sehingga 1641, Tanah Melayu telah dijajah oleh Potugal. 1641 sehingga 1824, Belanda pula datang menjajah Tanah Melayu. Setelah Belanda berundur, British datang menjajah Tanah Melayu pada tahun 1824 sehingga 1942. Kekayaan Tanah Melayu juga mendapat perhatian dari penjajah dari timur iaitu Jepun. Jepun pula telah menjajah Tanah Melayu selama 3 tahun dari tahun 1942 sehingga 1945. Setelah Jepun menyerah kalah, British kembali menjajah Tanah Melayu dari tahun 1945 sehingga 1957. Selama 447 tahun Tanah Melayu dijajah disebabkan oleh faktor ekonomi, perluasan kuasa dan sebagainya.

          En. Hisyam juga telah membawa kami ke Galeri D iaitu tentang ‘Malaysia Kini’. Di galeri ini, banyak menceritakan tentang bagaimana pembentukan Malaysia, bagaimana penggabungan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Pada 16 September 1963, terbentuklah Malaysia secara sah. Selepas melawat keempat-empat galeri, kami dilepaskan untuk menikmati makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak kafeteria Muzium Negara. Setelah makan, En. Kazar telah melepaskan kami di sekitar kawasan muzium untuk melawati dan mengumpul apa-apa maklumat yang belum sempat kami dapat sewaktu penerangan dari En. Hisyam sebentar tadi.

          Pada pukul 2 petang, kami telah bertolak untuk pulang ke politeknik. Sebelum pulang, kami sempat singgah di Restoran Jejantas Sungai Buloh untuk solat zuhur dan membeli sedikit makanan untuk bekalan diatas bas. Kami meneruskan perjalanan pada pukul 3 petang. Semua pelajar tertidur kerana keletihan. Walaupun penat, kami tetap gembira kerana ini merupakan lawatan yang sangat bermakna. Terlalu banyak pengetahuan yang kami dapat dan lawatan sebegini sewajarnya dicontohi dan diadakan pada masa akan datang kepada pelajar lain kerana ia mendatangkan banyak kebaikan dan pengetahuan. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak Muzium Negara kerana sudi menerima lawatan kami.


Gambar 1 : Saya sempat bergambar bersama rakan sekelas, En. Kazar, En. Hisyam dan seorang lagi pegawai muzium.



Gambar 2 : haa.. tengok, pelancong asing pun datang melawat Muzium Negara tau. Proud be Malaysian!!



Gambar 3 : Antara gambar-gambar yang sempat diambil di muzium







Tiada ulasan:

Catat Ulasan